13 November 2011

Pantun Empat Kerat (Agama)


Pantun Empat Kerat (Agama)
Mohd. Yusof Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh (Penyelenggara)

Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di pusara paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Setiap perbuatan yang dilakukan di muka bumi ini mempunyai balasan daripada Allah sama ada balasan baik mahupun buruk.



Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Dunia ini merupakan tempat persinggahan bagi manusia tetapi akhirat merupakan tempat yang kekal abadi.



Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Setiap orang yang ada di muka bumi ini tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.

Asam kandis asam gelugur,


Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Perkara yang telah berlaku tidak perlu dikenang kerana sudah terlambat dan tiada guna untuk disesali.



Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Pakaian bukan penentu tahap keimanan, sebaliknya amalan yang dilakukan olehnya.



Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.

Kita tidak boleh melakukan sesuatu perkara sesuka hati kerana kita makhluk ciptaan Tuhan dan kita perlu patuh serta taat kepada setiap perintah-Nya.

Tema


Agama merupakan perisai kepada sesorang daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak baik.

Persoalan
  • Pembalasan Tuhan di hari akhirat kelak.
  • Hari akhirat yang merupakan tempat yang kekal abadi.
  • Kelemahan manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.
  • Kepentingan melakukan amal ibadat kepada Allah.
  • Amalan yang menentukan tahap keimanan seseorang.
  • Ketaatan akan setiap perintah Allah.

Bentuk
  • Terdiri daripada enam rangkap.
  • Bilangan baris dalam setiap rangkapnya sama, iaitu empat baris.
  • Setiap baris mempunyai tiga hingga enam patah kata.
  • Setiap baris terdiri daripada lapan hingga sebelas suku kata.
  • Rima akhir setiap rangkap abab.
  • Ada pembayang dan maksudnya.

Unsur-unsur bunyi
  • Asonasi - Contohnya, Tumbuh di pusara paduka tuan (pengulangan vokal u)
  • Aliterasi - Contohnya, Ketiga asam si riang-riang (pengulangan konsonan g)
  • Jeda - Hentian sejenak di tengah baris semasa mendeklamasikan pantun. Contohnya, Kemuning / daunnya lampai, Tumbuh di pusara / paduka tuan; Di atas dunia / kau tak sampai, Di dalam syurga / bernantian.
  • Rima akhir pantun terikat dengan struktur rima sengkelang, iaitu abab. Contohnya, Halia ini tanam-tanaman, [a], Di barat saja akan tumbuhnya; [b], Dunia ini pinjam-pinjaman, [a], Akhirat juga akan sungguhnya. [b].

Gaya bahasa
  • Imej alam - kemuning, halia, teritip, asam kandis, asam gelugur, padi.
  • Anafora - (pengulangan perkataan yang sama pada awal baris). Contohnya, Di atas dunia kau tak sampai, Di dalam syurga bernantian.

Nilai
  • Keinsafan
  • Ketakwaan
  • Keimanan
  • Kapatuhan

Pengajaran
  • Kita hendaklah sentiasa mengingati hari pembalasan Tuhan.
  • Kita hendaklah mengawal diri agar tidak melakukan kemungkaran.
  • Kita hendaklah menginsafi setiap kesalahan yang dilakukan. 
  • Kita hendaklah rajin beribadat kepada Tuhan.

Latihan - Tekan sini



Credit : Kupasan & Kajian 2011 KOMSAS Tingkatan 2, terbitan SASBADI

3 comments: