28 October 2011

Pantun Empat Kerat (Muhibah dan Perpaduan)


Pantun Empat Kerat (Muhibah dan Perpaduan)
Zailani Taslim (Penyelenggara)

Petang hari pergi ke pekan,
Pulang membawa sebungkus laksa;
Hidup muhibah perlu diamalkan,
Di negara Malaysia berbilang bangsa.
Maksud : Hidup bermuafakat harus diamalkan di Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa.

Cantik bergugus buah papaya,
Masak dipetik satu per satu;
Walaupun berlainan bangsa budaya,
Kerana muhibah hidup bersatu.
Maksud : Rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya hidup bersatu padu kerana semangat muhibah yang diamalkan.

Air mengalir dalam terusan,
Mengairi sawah beratus relung;
Bekerjasama segala urusan,
Tanda bersatu bergotong-royong.
Maksud : Segala urusan yang dilakukan secara kerjasama dan bergotong-royong dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan.

Tuan Puteri dari kayangan,
Senyuman manis seperti madu;
Bermacam keturunan bukan halangan,
Untuk membina bangsa yang padu.
Maksud : Masyrakat yang berbilang bangsa tidak mustahil dapat mewujudkan bangsa yang bersatu padu.

Enak nian air kelapa,
Penawar sakit mujarab sekali;
Kebudayaan asal tidak dilupa,
Kebudayaan nasional mereka banggai.
Maksud : Masyarakat yang berbilang bangsa ini masih mengamalkan kebudayaan mereka yang tersendiri, namun tetap mengamalkan kebudayaan yang dapat diterima oleh nasional, iaitu kebudayaan semua masyarakat.

Tema
Perpaduan dalam negara Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa.

Persoalan
  • Amalan kehidupan harmoni dalam masyrakat.
  • Kepentingan bersatu padu dalam negara berbilang bangsa.
  • Bekerjasama dalam semua tindakan.
  • Kebudayaan nasional yang sentiasa diamalkan.
  • Bersatu padu kerana mengamalkan semangat muhibah.

Bentuk
  • Terdiri daripada lima rangkap.
  • Bilangan baris dalam setiap rangkapnya sama, iaitu empat baris.
  • Setiap baris mempunyai empat hingga lima patah kata.
  • Setiap baris terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata.
  • Rima akhir setiap rangkap abab.
  • Ada pembayang dan maksudnya.

Unsur-unsur bunyi
  • Asonasi - Contohnya, Di negara Malaysia berbilang bangsa (pengulangan vokal a).
  • Aliterasi - Contohnya, Walaupun berlainan bangsa budaya (pengulangan konsonan b).
  • Jeda - Hentian sejenak di tengah baris semasa mendeklamasikan pantun. Contohnya, Air mengalir / dalam terusan, Mengairi sawah / beratus relung; Bekerjasama / segala urusan, Tanda bersatu / bergotong-royong.
  • Rima akhir pantun terikat dengan struktur riima sengkelang, iaitu abab. Contohnya, Tuan Puteri dari kayangan, [a], Senyuman manis seperti madu; [b], Bermacam keturunan bukan halangan, [a], Untuk membina bangsa yang padu. [b].

Gaya bahasa
  • Imej alam - buah papaya, air, madu, air kelapa.
  • Simile - senyuman manis seperti madu.
  • Anafora - (pengulangan perkara yang sama pada awal baris). Contohnya, Kebudayaan asal tidak dilupa, Kebudayaan nasional mereka banggai.
  • Diksi - (penggunaan kata-kata indah dalam ayat). Contohnya, Enak nian air kelapa.

Nilai
  • Keharmonian
  • Perpaduan
  • Bekerjasama
  • Penghargaan

Pengajaran
  • Kita haruslah mengamalkan kehidupan yang harmoni.
  • Kita hendaklah sentiasa bersatu-padu.
  • Kita hendaklah mengamalkan sikap kerjasama dalam kehidupan.
  • Kita hendaklah menghargai kebudayaan nasional kita.


Latihan - Tekan sini



Credit : Kupasan & Kajian 2011 KOMSAS Tingkatan 2, terbitan SASBADI

3 comments:

  1. membantu cikgu
    terima kasih atas perkongsian ilmu :)

    ReplyDelete
  2. No.5 salah. Maaf saya bukn nk ckp salah tpi kurang tepat. Kalau ada murid kt luar sana nk cri maksud rangkap kelima carilah kat laman sesawang len ok.

    ReplyDelete
  3. terima kasih cikgu atas perkongsian ilmu ini :D

    ReplyDelete