15 December 2011

Tema & Persoalan Merenang Gelora


Selamat bercuti.....

Kali ini cikgu ingin menerangkan tentang Tema dan Persoalan bagi novel Merenang Gelora. Tema dan persoalan sering ditanya dalam peperiksaan, selain daripada watak & perwatakan, latar, binaan plot serta nilai & pengajaran. Seperti yang anda sedia maklum, soalan novel terdapat pada Bahagian D, Kertas 2 yang memberi markah 10%. Ia wajib dijawab, jadi mahu tidak mahu anda harus memberi perhatian pada tajuk ini.

Tema bermaksud idea utama atau persoalan pokok dalam sesebuah cerita.

Tema Merenang Gelora: Cabaran dan tanggungjawab pelajar dalam menjalankan tugas sebagai pengawas

Persoalan bermaksud perkara-perkara sampingan yang hadir bersama-sama tema sama ada yang tersurat atau tersirat.

Persoalan novel Merenang Gelora

1. Persoalan ibu bapa yang mementingkan kerjaya menyebabkan anak-anak terlibat dengan gejala sosial. 
Contoh: Shahrul yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapanya terlibat dalam masalah disiplin sekolah dan bercampur dengan kumpulan budak-budak motor.

2. Persoalan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. 
Contoh: Encik Tan memohon kepada pengetua supaya Meng Kong ditempatkan di asrama sekolah agar anaknya berdisiplin dan berjaya dalam peperiksaan. 

3. Persoalan hasad dengki dalam persahabatan.
Contoh: Shahrul mengarahkan Kumar memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg Meng Kong supaya Meng Kong dibuang dari asrama.

4. Persoalan melaksanakan tanggungjawab terhadap tugas. 
Contoh: Badri sebagai seorang pengawas terus merujuk Cikgu Jailani sekiranya pelajar terlibat dengan kes disiplin walaupun kawannya sendiri, Jamil.

5. Persoalan semangat kerjasama dalam menyelesaikan masalah. 
Contoh: Siew Mei memberikan maklumat kepada Badri tentang penglibatan Shahrul dan rakan-rakannya dalam penjualan telefon bimbit secara ansuran kepada pelajar di sekolahnya.

6. Persoalan sikap gigih golongan pelajar untuk mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan. 
Contoh: Badri, Siew Mei dan Taufik mengadakan kumpulan belajar dan akhirnya berjaya memperoleh keputusan 9A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

Contoh soalan peperiksaan: (Cuba buat ya!)

Berdasarkan novel yang anda kaji:
a) Nyatakan tema novel tersebut.
b) Jelaskan tiga persoalan beserta contoh peristiwa yang terdapat di dalamnya.

Dah penat belajar????? Rehatkan minda anda dengan menonton cerita teladan di bawah.




Untuk mendapatkan lebih banyak cerita teladan, klik sini.

7 comments: